NORAINI boleh bercakap dalam bahasa Mandarin, Hokkien dan Korea selepas sedar daripada koma.
TIDAK lama dahulu, seorang remaja dari Besut, Terengganu, Noraini Ismail,
tiba-tiba boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, Hokkien dan Korea selepas
terlibat dalam satu kemalangan motosikal.
Namun, apa yang pelik ialah, dia hanya mampu bercakap bahasa asing itu ketika
bangun tidur pada waktu subuh.
“Kadang-kadang saya diserang sakit kepala yang kuat tapi saya tak tahu kenapa
saya cakap bahasa asing. Saya nak cakap Melayu seperti biasa tapi tak boleh,”
ujar Noraini, 17.
Gadis itu terlibat dalam kemalangan pada 10 Januari lalu semasa pulang dari
sekolah. Dia membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18, sebelum mereka
melanggar sebuah lori kecil.
Pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
mendapati Noraini yang pengsan selama 11 jam hanya mengalami luka kecil di kaki.
Tetapi selepas itu, doktor memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya.
Sebenarnya, kebolehan bercakap bahasa asing akibat kemalangan atau selepas
diserang penyakit sering dikesan berlaku di seluruh dunia.
Selain hentakan kuat pada kepala, punca lain ialah strok, demam selesema dan
pengsan. Namun, tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan gangguan makhluk
halus.
Pada Oktober lalu, seorang wanita Scotland, Debbie McCann, 48, yang baru
pulih daripada strok terkejut besar apabila mendapati dia boleh bercakap bahasa
Itali dan Cina.
Sindrom
Walaupun tidak pernah pergi ke kedua-dua negara tersebut, bahasa Itali dan
Cinanya cukup jelas.
Namun, kebolehan eksentrik itu hanya membuatkan dia berasa malu untuk
bercakap dengan orang lain. Sebulan selepas itu Debbie jatuh sakit manakala
kedua-dua bahasa itu hilang entah ke mana.
Bagaimanapun selepas pulih, dia mampu bercakap dalam loghat Glasgow yang
pekat.
Kejadian yang sama menimpa Kay Russel. Wanita Britain itu boleh bercakap
dalam bahasa Perancis selepas mengalami sakit kepala yang teruk.
Malangnya, sindrom bahasa itu menyebabkan dia dipinggirkan orang ramai.
Juga di Britain sebulan lepas, Cebie Royston yang berasal dari Birmingham
bertutur dalam bahasa Perancis secara tiba-tiba sebaik sahaja sembuh daripada
demam selesema.
Sebelum itu, dia menghidap sejenis penyakit yang telah melumpuhkan kebolehan
bertuturnya selama sebulan.
Makhluk halus
Dalam ilmu perubatan moden, penyakit itu dikenali sebagai sindrom bahasa
asing. Ia dipercayai dihidap oleh kira-kira 60 orang sahaja di dunia ini sejak
dikesan seabad lalu.
Mengikut rekod perubatan, sindrom itu kebanyakannya dialami wanita tetapi
punca kenapa kaum Hawa menjadi mangsa tidak diketahui hingga sekarang.
Seorang pengkaji paranormal, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, individu
yang menghidap sindrom bahasa asing mempunyai keistimewaan tertentu.
“Mereka sebenarnya boleh menjadi seorang pengkaji paranormal atau pengamal
perubatan tradisional disebabkan kehadiran makhluk halus di dalam badan
mereka.
“Cuma keistimewaan bercakap bahasa asing itu terhad pada tempoh tertentu,
bergantung pada keadaan dan kesediaan makhluk halus berkenaan,” katanya kepada
Jurnal.
Jelasnya, makhluk halus mampu berbahasa asing mengikut negara mereka
tinggal.
“Tetapi makhluk itu tidak mengganggu kehidupan mangsa. Mungkin mahkluk itu
sekadar ‘menumpang’ seketika.
“Namun, lebih baik pesakit mendapatkan rawatan sama ada menggunakan kaedah
moden atau tradisional,” ujarnya.
Idrus memberitahu, individu yang mengalami sindrom ini mungkin menghadapi
masalah bergaul dengan masyarakat kerana kebolehan eksentrik itu.
“Memiliki keistimewaan yang pelik pun boleh menjadi bahan umpatan orang,”
komen Idrus.
SUMBER