FEMININ, lembut, cinta dan romantik, demikian kupasan elemen yang terkandung
dalam rona merah jambu. Tiada siapa mampu menafikan kehebatan warna itu dalam
menyemarakkan bibit-bibit romantis antara pasangan kekasih.
Auranya begitu akrab dengan wanita dan amat dikecam golongan lelaki. Situasi
itu sudah wujud sejak sekian lama dan lelaki yang berani memakai pakaian merah
jambu bakal menerima cemuhan dan dijeling sinis oleh kaum Adam lain yang
melabelkan diri mereka sebagai lelaki sejati.
Namun, teori lelaki merah jambu sebagai lelaki tidak tulen kian tenggelam.
Anjakan pemikiran lelaki moden telah membenam konotasi negatif itu. Maka,
terlahirlah frasa Real Men Wear Pink (Lelaki Sejati Memakai Merah Jambu).
“Dekad ini menyaksikan dominasi warna terang termasuklah merah jambu. Ia
adalah antara pilihan warna yang perlu ada dalam gerobok lelaki yang sentiasa
menjaga penampilan mereka.
“Penerimaan lelaki terhadap merah jambu dilihat semakin positif dan tanggapan
serong terhadap lelaki yang memakai merah jambu sebagai feminin perlu dikikis,”
jelas pereka fesyen tempatan, Fairuz Ramdan.
Tambah pereka berusia 31 tahun itu lagi, penerimaan warna sentiasa
berubah-ubah mengikut musim. Pada awal milenium dahulu, warna metalik seperti
kelabu dan perak lebih mencuri perhatian diikuti dengan musim kegilaan warna
gelap terutama hitam.
Warna hitam memang pendamping setia jejaka. Ia dilihat sebagai rona neutral
yang padan dengan semua gaya dan tampak lebih maskulin. Wanita juga melihat
lelaki dalam persalinan hitam memiliki imej lelaki nakal.
Biar apapun kuasa yang dimiliki warna hitam dalam membentuk personaliti
lelaki, jangan diragui akan kuasa magnet merah jambu yang juga mampu membuatkan
wanita tertarik kepada jejaka yang berani menggayakannya.
Menurut Fairuz, lelaki yang memilih merah jambu sebagai warna kegemaran
mempunyai karakter tersendiri. Faktor X itu membuatkan mereka sebagai jejaka
idaman pada pandangan wanita.
Menerusi pemakaian merah jambu, seseorang lelaki itu tanpa berselindung rela
menampilkan sisi sensitif mereka yang acapkali kebal dalam ego. Disebabkan itu,
wanita melihat lelaki merah jambu sebagai lelaki yang berpersonaliti tenang dan
tidak egois.
Mainan romantis
“Tidak semua lelaki berani memakai merah jambu kerana ia ibarat tabu pada
diri mereka. Mereka perlu melihat persekitaran tempat kerja, kehidupan sosial
dan kelompok pergaulan sebelum membuat keputusan untuk memakai warna itu.
“Memang kedengaran serius tetapi inilah sebenarnya yang terjadi. Ada lelaki
tidak kisah diusik rakan-rakan mereka. Ada juga yang sukakan warna ini tetapi
hanya memendam hasrat itu kerana khuatir diperli sahabat
HAKIKATNYA lelaki zaman moden perlu berani menggayakan apa
jua warna pakaian. Biarpun warna merah jambu penuh kelembutan, ia sedikitpun
tidak mengikis aura maskulin para model ini.
“Kelebihan ketara yang dipunyai lelaki merah jambu ialah keyakinan dan
keberanian, malah, ia menampakkan mereka sebagai seorang lelaki yang lebih
romantik berbanding lelaki yang gemarkan warna lain,” kata Fairuz lagi.
Sekiranya anda seorang penonton setia drama bersiri Gossip Girl, pasti anda
terkesan dengan watak Chuck Bass yang dilakonkan aktor Ed Westwick.
Walaupun pada awalnya beliau seorang kaki perempuan, namun lama-kelamaan,
Chuck bertukar menjadi lelaki yang setia pada cinta. Apa yang menangkap
perhatian penonton ialah pakaian yang dipakai watak itu. Merah jambu menjadi
warna utama yang sebati dengan personaliti Chuck.
Sut merah jambu coral, kemeja dan baju sejuk merah jambu berserta tali leher
atau tali leher kupu-kupu merah jambu menjadi signatur Chuck Bass sebagai jejaka
segak yang romantik. Sikap ego dipadam setiap kali jejaka itu melafazkan cinta
pada wanita yang dikasihinya.
Padanan warna
Lelaki yang mesra dengan merah jambu perlu bijak menyuaipadan warna itu
dengan warna-warna lain. Merah jambu dianggap warna yang suci, jadi, kesilapan
gabungan warna mampu menjelikkan penampilan dan melunturkan kelembutan rona
asmara itu.
“Disebabkan ia warna yang sensitif, merah jambu tidak boleh dimasukkan dengan
warna-warna yang terlalu kontra dan pastikan ia tidak melebihi gabungan dua
warna.
“Putih merupakan warna paling sesuai dengan merah jambu termasuklah kelabu,
biru kelasi (navy) dan kuning air (beige).
“Elakkan penggunaan warna hitam melainkan sut hitam yang dipadankan dengan
kemeja merah jambu. Kesesuaian itu perlu dilihat mengikut acara dan jenis
pakaian yang disarungkan,” jelas Fairuz yang juga merupakan pemilik kepada label
pakaian kasual eksklusif lelaki, Mistio Vintage.
Warna kulit juga memainkan peranan penting bagi menaikkan seri merah jambu
pada diri lelaki. Jejaka berkulit cerah perlu memilih merah jambu terang
manakala lelaki berkulit gelap wajar memakai merah jambu cair dan lebih
lembut.
Merah jambu terang membuatkan lelaki berkulit cerah lebih segar dan tidak
pucat. Merah jambu cair pula menjadikan lelaki berkulit gelap kelihatan lebih
cerah dengan ton warna yang lebih sekata
Sumber KOSMO