Nuffnang Adv

Monday, January 16, 2012

Jurukimpal rogol anak rakan 3 tahun

OCPD-Kemaman,-Abdullah-Sani-Salat



KEMAMAN – Angkara nafsu buas tanpa mengenal perikemanusiaan seorang jurukimpal dipercayai tergamak merogol seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang juga anak rakan baik isterinya sendiri dalam kejadian di sebuah kampung di Chukai, dekat sini, semalam.

Perbuatan durjana lelaki berusia 46 tahun itu disedari ibu mangsa apabila mendapati seluar anaknya basah dan sejurus seluar dibuka bahagian luaran lampin pakai buang serta dari pangkal peha hingga ke lutut anaknya berbau air mani ketika datang mengambil anaknya itu di rumah lelaki terbabit kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Sehari sebelum kejadian, ibu mangsa yang berusia 29 tahun dan tinggal tidak jauh dari rumah suspek meninggalkan mangsa untuk dijaga oleh rakan baiknya yang juga isteri suspek dan mangsa sememangnya telah dijaga oleh isteri suspek sejak dua minggu lalu sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, ketika ibu mangsa yang bekerja sebagai tukang jahit datang mengambil anaknya di rumah suspek dia mendapati anaknya sedang tidur di bilik tidur rakan baiknya.

“Apabila diperiksa ibu mangsa mendapati seluar anaknya basah sebelum terbau bau air mani di bahagian luar lampin pakai buang yang dipakai anaknya. Setelah dihidu lagi air mani juga terbau dari pangkal peha hingga lutut anaknya.

“Ekoran rasa tidak sedap hati, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Chukai kira-kira jam 3.34 pagi hari sama agar pemeriksaan di hospital dapat dilakukan bagi mengetahui kejadian sebenar,” katanya hari ini.

Difahamkan, sebelum ini kejadian sama berlaku ke atas mangsa iaitu pada April tahun lalu dipercayai dilakukan oleh abang tiri ibu mangsa di rumah ibunya di Ajil, Hulu Terengganu namun tiada laporan polis dibuat.

Abdullah Sani berkata, hasil pemeriksaan pihak hospital mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Berikutan itu, suspek ditangkap sejurus kemudian dan ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sumber 

Satelit UARS Sudah Jatuh Ke Bumi





Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.
Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800kilometer persegi di rantau Pasifik.
Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh.

Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).
Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi.
NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat.
NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu

Sumber

Friday, January 13, 2012

Trauma Wardina


Selimut saya terbuka! Dibuka! YA Allah seorang lelaki bertopeng menyuruh saya diam “SHHHHHH” katanya. “Barang kemas mana?” “Barang kemas mana?” katanya. Tersedar saya, ini bukan mimpi lagi, rumah saya dimasuki pencuri! Saya cuba tenangkan hati, dan menyorok muka juga tubuh saya. Jawab saya dengan yakin “Saya tak pakai barang kemas, saya tak ada barang kemas” Yang ada pada saya cuma cincin arwah tinggalan nenek saya. Dengan berat hati saya membukanya, “Ini saja yang saya ada, cincin nenek saya, nah ambil” balas saya “Saya memang tak suka barang kemas, tak pakai barang kemas” kata saya lagi, cuba meyakinkan manusia ini bahawa rumah ini memang tiada apa yang dicari. Seribu satu perasaan dan sejuta lagi penyataan memecut laju didalam minda. Kenapa? Bagaimana? Apa akan terjadi? Mana anak-anak saya? Siapa mereka? Mahu apa? Adakah saya akan diapa-apakan?

Cincin belah rotan dengan tiga butir berlian kecil, mungkin tiada nilai yang tinggi. Namun  itulah peringatan asal usul dan ‘memori’ jati diri ini. Separuh dari diri saya. Tidak tinggi dengan nilai harga,tetapi tinggi dengan nilai jiwa. Cincin arwah Dorris Irene Wilmot yang dipakai ketika perkahwinannya dulu. Dari Scotland ke England kemudian bersama cincin itu juga dia berlayar bersama Leslie James Morgan Wlmot, grandpa saya, ke Australia tatkala perang dunia ke-2. Saya sebenarnya mahu memberinya kepada Amna satu hari nanti ,tapi apakan daya. Memori dan nilai sentimental cincin itu amat tinggi sekali. Tidak apa, kerana memori di dalam diri tidak mungkin dapat mereka curi.

Namun sebagaimana memori indah itu akan kekal dengan izinNya, memori ngeri ini juga akan terus tersematl dalam diri. Seperti pita video buruk  yang rosak, gambaran kejadian berputar dan berputar kembali dalam ingatan saya. Adakalanya bulu roma saya naik kembali, tangan dan tubuh bergetar dengan sendiri. Wajah mereka kini sering menggangu dan menghantui saya. Saya pasti, ianya mengambil masa untuk di’lupa’kan. Bukan lupa sepenuhnya, namun lupakan ketakutan dan mencari kekuatan kembali. Takut, resah, gelisah dan beribu perasaan lain, bercampur seperti dicampurnya rencah di dalam kuali. Akhirnya, namun akhirnya gulai itu sungguh enak sekali. Akhirnya, saya mengucap syukur Alhamdulillah. Allah mahu membersihkan kami. Musibah demi musibah , membuatkan diri lebih dekat dengan Ilahi, “Syukur Ya Allah”Alhamdulillah” dan “Innalillah” bermain di bibir sejak pagi tadi.

Saya terfikir, siapakah dia insan ini, sehingga sanggup buat begini? Mencuri demi wang ringgit semata. Ketika dipukul Ikhwan di kaki dan kepala, mereka berkata, “Saya tak kacau orang, saya tak kacau orang” dalam loghat Indonesianya. Ikhwan memberi amaran keapda mereka “Jangan sentuh isteri saya”, “Jangan kacau anak saya”. Ikhwan dikejutkan ketika sedang menemani Imran yang demam, di kamar birunya. Diikat tangan suami tercinta. Setelah Ikhwan menjerit, mengharapkan ada yang mendengar, saya kemudian tergamam ketika perompak itu berkata “Sini, sini” cuba membuka selimut saya.

Saya berjanji pada diri ,sekiranya orang ini cuba mengapakan saya, saya akan bermatian sehingga nafas terakhir, memepertahankan maruah saya. Saya juga wanita Aceh, darah pejuang mengalir di dalam badan saya. Rupanya Eka saudara saya dari Aceh yang kini membantu saya ditarik dari kamarnya dibawah keatas dan disuruh bersama saya didalam selimut. Saya memeluknya.

Anak-anak saya? Di mana mereka? Saya tertanya-tanya. Saya berikan dan letakkan keselamatan diri mereka kepada Allah sepenuhnya. Saya yakin mereka selamat. Doa saya setiap lepas solat adalah supaya Allah memelihara mereka, kerana mereka bukan kepunyaan saya, mereka milik Allah. Saya yakin pasti ada diantara doa saya didengari. Saya pasti! Saya yakin! Tidak lama kemudian terdengar tangisan Imran.

Imran!!! ” jerit saya, tanpa membuka cadar. Ikhwan masuk bersama Imran ke kamar saya. Saya pegang badan panas Imran, dia masih demam, dan Imran terus teresak-esak dalam pelukkan saya. “Naughty man, Ummi” kata Imran pada saya. “Dia hit ayah Imran” katanya. “Imran tak de sword, Imran” katanya. Allah, sucinya anak ini. Belum mengerti apa pun. Ini bukan filem atau kartun anakku. Sword Imran tak akan mungkin membantu. Satu ketika dahulu, perompak-perompak ini juga pernah suci dan comel sepertinya. “Ya Allah pelihara anakku” bisik saya dalam hati. Tidak lama selepas itu, Amna dan Azra dengan senyap memasuki cadar saya. Kami bertiga memeluk erat sesama sendiri. Sekali-sekali saya mengusap Eka disebelah saya. Saya harus berani untuk mereka. Saya tiba-tiba merasakan Ikhwan duduk dikaki saya. Alhamdulillah kami semua ada bersama.

 Sekali lagi selimut saya ditarik, seorang lagi lelaki bertopeng bertanya “Barang kemas mana?” Ikhwan berkata “Jangan sentuh dia, dia tak ada tudung” MasyaAllah, begitulah suami saya menjaga kehormatan saya. Dalam saat ini pun dia tidak mahu sesiapa pun melihat ‘hak’nya. Saya amat berbesar hati ketika itu. Maka kerana itulah luluh jantungnya melihat gambar saya dahulu di’post’ sesuka hati di alam maya. Kasihanilah saya dan dia. Janganlah buat begitu lagi ya? Pelihara aib orang lain supaya aib anda dan keluarga juga dijaga. Percayalah janji Allah itu benar, ini bukan janji manusia.

 Sekali lagi saya menjawab membalas pertanyaan peromapak ini, “Saya tak pakai barang kemas, saya tak suka barang kemas” Ikhwan mengalih perhatiannya kepada laci dihadapan. “Sini banyak barang mahal” tunjuk Ikhwan. Manusia ini menggeledah laci tadi yang sebetulnya cuma termuat aksesori lama. Rantai, gelang kayu, brooch yang dihiasi permata palsu.  Ya, saya tidak punya apa! Saya bukan penggemar emas dan intan permata.

Seorang lagi rakannya berhenti dihadapan rak buku kami. Itulah harta saya, buku yang tersusn rapi. Rak demi rak buku didalam kamar. Itulah saja ‘harta’ saya. Ilmu itu emas bagiku. Tak mungkin perompak ini mengerti! Berdirinya dihadapan rak buku itu, dia seolah keliru. Tidak tahu lagi apa harus dibuat dan kemana harus dituju. Dihampiri rak diatas meja tulis, disitu penuh dengan buku lagi, dengan buku nota yang amat berharga bagi saya, segala nota kuliah, seminar dan persidangan ada disana. Saya yakin tidak akan mereka sentuh sama sekali! Juga tersusun di rak itu Quran-Quran saya. Sampainya dia memegang Quran berwarna hijau muda, Ikhwan berkata “Quran tak nak?” memerli sinis dirinya. Dia cuma diam.

Ikhwan mula membaca Ayatul-Kursi dengan nada tinggi. Dia menyuruh Ikhwan diam. Mungkin tergetar juga hatinya. Saya mengikut. Al-Falaq menyusul.

 "Katakanlah wahai Muhammad “Aku berlindung kepada Allah Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk”
"Dari bencana makhluk-makhluk yang ia diciptakan” “
"Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk”    
“Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan”
“Dan kejahatan orang  yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”

(Quran, Al-Falaq:1-5)

Saya, Amna dan Azra memabcanya berulang ulang dengan penuh yakin. Akhirnya semua ini milik Allah jua  “Ya Allah yang memiliki hati manusia, timbulkanah perasaan gentar dan tidak selesa didalam jiwa mereka” doa saya dalam hati. Saya cuma mampu berserah, dan ketika ini terasa makna ketawhidan Illah yang begitu tinggi memuncak di dalam sanubari. Secara tiba-tiba, terdengar motor pak jaga di luar rumah saya. Perompak menyuruh kami diam. Tidak lama selepas itu, mereka beredar. Rupanya Farah anak gadis Pak Fauzi Marzuki, jiran belakang saya ternampak kelibat penyamun ini dari jendelanya. Dan siapakah yang menggerakkannya untuk nampak rasanya? Ya Benar! Allah SWT.

Air mata saya menitis. Thank you Allah. Kuasa keyakinan itu amat tinggi sekali. Keyakinan bahawa Allah akan bersama orang-orang yang mahu bersamanya. “Ingatlah Aku dan Aku akan mengingatimu” Saya cukup yakin. Janji Allah benar. Ini bukan janji manusia.

Amna masih trauma, sejurus setelah mereka keluar, setelah polis dan jiran bersama kami. Amna terus muntah. Satu reaksi fisiologi yang biasa bagi kanak-kanak yang trauma. Muntahnya hijau, namun lebih hijau lagi emosinya. Saya akan cuba membina keberaniannya kembali. Satu pertanyaan Amna yang membuatkan saya terhenti. “Why did they do that Ummi?”

Saya terdiam. Bagaimana harus saya jawab pada anak kecil ini? Ya benar kita semua dilahirkan fitrahnya suci dari dosa. Jawapan saya pada Amna di artikel seterusnya! Ianya  untuk anda fikirkan juga.

Yang masih trauma,
Wardina

Tuesday, January 10, 2012

Kahwin 'Touch n Go'

TAWAU: Kahwin ‘Touch n Go’. Itu gambaran kepada ayah kanak-kanak jalanan di sini yang sering mengamalkan poligami sebelum meninggalkan keluarga untuk berhijrah ke tempat lain.
Di tempat baru pula, mereka berkahwin lain sebelum meninggalkan keluarga baru itu dan berpindah tempat lagi.

Keadaan itu menyebabkan si isteri menjalani kehidupan sendirian tanpa mengetahui lokasi suami mereka. Lebih memeritkan, anak hasil perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan kelahirannya termasuk memiliki dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan disebabkan ayah yang ‘ghaib’ itu.

Pemangku Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jumaat Hassan, berkata masalah kahwin ‘Touch n Go’ seperti ini menjadi antara punca utama kewujudan kanak-kanak jalanan di Tawau dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Ada kes seorang remaja lelaki hanya berjaya mendapat kad pengenalan ketika berumur 18 tahun. Sebelum itu, dia tidak pernah memiliki sijil kelahiran dan diserahkan kepada keluarga angkat oleh ibunya sejak bayi selepas ditinggalkan ayahnya.

“Selepas hampir setahun menjejaki si ayah, akhirnya keluarga angkat remaja itu menemuinya di Papar (596 kilometer dari Tawau) sebelum memintanya melakukan urusan untuk mendapatkan kad pengenalan anaknya,” katanya di sini, baru-baru ini
Sepanjang tidak mempunyai kad pengenalan, remaja yang dikenali sebagai Mohd Kalno itu terpaksa melakukan kerja kampung dan tidak pernah ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan.

Mujur keluarga angkatnya tidak mengabaikan Mohd Kalno dengan mengajarnya membaca dan menulis di rumah bagi mengelakkan remaja terbabit buta huruf.

Walaupun dilahirkan di Tawau, difahamkan Mohd Kalno pernah ditangkap pihak berkuasa sebelum dihantar ke sebuah pulau di Filipina ketika berusia 16 tahun akibat tidak mempunyai kad pengenalan (ketika itu) sebelum dia pulang semula ke Tawau.

“Masalah berkahwin ramai dan kemudian meninggalkan anak dan isteri sering kali dihadapi di sini dan ia menjadi antara punca kanak-kanak jalanan ini tidak mempunyai dokumen diri,” katanya.

Menurut Jumaat, beberapa operasi bersepadu antara polis, MPT, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau dijalankan bagi mengatasi masalah kanak-kanak jalanan ini.

“Namun disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri dan undang-undang, mereka ditahan dan ada sebahagiannya dihantar pulang sama ada ke Filipina mahupun Indonesia,” katanya.

Ketua Anak Negeri Parlimen Kalabakan, Mansor Palullah, berkata ramai juga individu yang berkahwin di seberang dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

“Mungkin disebabkan tidak mahu dikenakan denda dan sebagainya (selepas mendaftarkan perkahwinan), akhirnya pasangan itu tidak boleh mendaftarkan kelahiran anak mereka.

“Dalam hal ini, tahap kesedaran yang rendah di samping enggan mengikuti peraturan ditetapkan menyebabkan anak mereka tidak mempunyai dokumen diri yang sah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Daerah OKK, Mohd Ayub Kee Abu Bakar, berkata masalah kanak-kanak jalanan ini perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan kerana ia banyak memberi kesan terhadap pembangunan Tawau terutama dalam jangka masa panjang