Nuffnang Adv

Tuesday, February 14, 2012

Lelaki berani tolak stereotaip


FEMININ, lembut, cinta dan romantik, demikian kupasan elemen yang terkandung dalam rona merah jambu. Tiada siapa mampu menafikan kehebatan warna itu dalam menyemarakkan bibit-bibit romantis antara pasangan kekasih.
Auranya begitu akrab dengan wanita dan amat dikecam golongan lelaki. Situasi itu sudah wujud sejak sekian lama dan lelaki yang berani memakai pakaian merah jambu bakal menerima cemuhan dan dijeling sinis oleh kaum Adam lain yang melabelkan diri mereka sebagai lelaki sejati.
Namun, teori lelaki merah jambu sebagai lelaki tidak tulen kian tenggelam. Anjakan pemikiran lelaki moden telah membenam konotasi negatif itu. Maka, terlahirlah frasa Real Men Wear Pink (Lelaki Sejati Memakai Merah Jambu).
“Dekad ini menyaksikan dominasi warna terang termasuklah merah jambu. Ia adalah antara pilihan warna yang perlu ada dalam gerobok lelaki yang sentiasa menjaga penampilan mereka.
“Penerimaan lelaki terhadap merah jambu dilihat semakin positif dan tanggapan serong terhadap lelaki yang memakai merah jambu sebagai feminin perlu dikikis,” jelas pereka fesyen tempatan, Fairuz Ramdan.
Tambah pereka berusia 31 tahun itu lagi, penerimaan warna sentiasa berubah-ubah mengikut musim. Pada awal milenium dahulu, warna metalik seperti kelabu dan perak lebih mencuri perhatian diikuti dengan musim kegilaan warna gelap terutama hitam.
Warna hitam memang pendamping setia jejaka. Ia dilihat sebagai rona neutral yang padan dengan semua gaya dan tampak lebih maskulin. Wanita juga melihat lelaki dalam persalinan hitam memiliki imej lelaki nakal.
Biar apapun kuasa yang dimiliki warna hitam dalam membentuk personaliti lelaki, jangan diragui akan kuasa magnet merah jambu yang juga mampu membuatkan wanita tertarik kepada jejaka yang berani menggayakannya.
Menurut Fairuz, lelaki yang memilih merah jambu sebagai warna kegemaran mempunyai karakter tersendiri. Faktor X itu membuatkan mereka sebagai jejaka idaman pada pandangan wanita.
Menerusi pemakaian merah jambu, seseorang lelaki itu tanpa berselindung rela menampilkan sisi sensitif mereka yang acapkali kebal dalam ego. Disebabkan itu, wanita melihat lelaki merah jambu sebagai lelaki yang berpersonaliti tenang dan tidak egois.
Mainan romantis
“Tidak semua lelaki berani memakai merah jambu kerana ia ibarat tabu pada diri mereka. Mereka perlu melihat persekitaran tempat kerja, kehidupan sosial dan kelompok pergaulan sebelum membuat keputusan untuk memakai warna itu.
“Memang kedengaran serius tetapi inilah sebenarnya yang terjadi. Ada lelaki tidak kisah diusik rakan-rakan mereka. Ada juga yang sukakan warna ini tetapi hanya memendam hasrat itu kerana khuatir diperli sahabat


HAKIKATNYA lelaki zaman moden perlu berani menggayakan apa jua warna pakaian. Biarpun warna merah jambu penuh kelembutan, ia sedikitpun tidak mengikis aura maskulin para model ini.


“Kelebihan ketara yang dipunyai lelaki merah jambu ialah keyakinan dan keberanian, malah, ia menampakkan mereka sebagai seorang lelaki yang lebih romantik berbanding lelaki yang gemarkan warna lain,” kata Fairuz lagi.
Sekiranya anda seorang penonton setia drama bersiri Gossip Girl, pasti anda terkesan dengan watak Chuck Bass yang dilakonkan aktor Ed Westwick.
Walaupun pada awalnya beliau seorang kaki perempuan, namun lama-kelamaan, Chuck bertukar menjadi lelaki yang setia pada cinta. Apa yang menangkap perhatian penonton ialah pakaian yang dipakai watak itu. Merah jambu menjadi warna utama yang sebati dengan personaliti Chuck.
Sut merah jambu coral, kemeja dan baju sejuk merah jambu berserta tali leher atau tali leher kupu-kupu merah jambu menjadi signatur Chuck Bass sebagai jejaka segak yang romantik. Sikap ego dipadam setiap kali jejaka itu melafazkan cinta pada wanita yang dikasihinya.
Padanan warna
Lelaki yang mesra dengan merah jambu perlu bijak menyuaipadan warna itu dengan warna-warna lain. Merah jambu dianggap warna yang suci, jadi, kesilapan gabungan warna mampu menjelikkan penampilan dan melunturkan kelembutan rona asmara itu.
“Disebabkan ia warna yang sensitif, merah jambu tidak boleh dimasukkan dengan warna-warna yang terlalu kontra dan pastikan ia tidak melebihi gabungan dua warna.
“Putih merupakan warna paling sesuai dengan merah jambu termasuklah kelabu, biru kelasi (navy) dan kuning air (beige).
“Elakkan penggunaan warna hitam melainkan sut hitam yang dipadankan dengan kemeja merah jambu. Kesesuaian itu perlu dilihat mengikut acara dan jenis pakaian yang disarungkan,” jelas Fairuz yang juga merupakan pemilik kepada label pakaian kasual eksklusif lelaki, Mistio Vintage.
Warna kulit juga memainkan peranan penting bagi menaikkan seri merah jambu pada diri lelaki. Jejaka berkulit cerah perlu memilih merah jambu terang manakala lelaki berkulit gelap wajar memakai merah jambu cair dan lebih lembut.
Merah jambu terang membuatkan lelaki berkulit cerah lebih segar dan tidak pucat. Merah jambu cair pula menjadikan lelaki berkulit gelap kelihatan lebih cerah dengan ton warna yang lebih sekata

Sumber KOSMO

No comments: