Nuffnang Adv

Wednesday, February 8, 2012

Terdesak demi anak dalam perut


SEGAMAT: Akibat terdesak membesarkan dua anak dan bakal melahirkan anak ketiga selepas ditinggalkan suami beberapa bulan lalu, seorang wanita bertindak nekad melarikan beberapa keperluan bayi, kanak-kanak dan barang dapur bernilai RM855 dari sebuah pasar raya besar di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, wanita berusia 37 tahun itu hampir berjaya meloloskan diri dan menuju ke tempat letak motosikal dengan troli penuh barangan berkenaan, namun tindakannya disedari kakitangan pasar raya berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Anuar Ismail, (gambar), berkata kejadian berlaku di sebuah pasar raya besar di Jalan Syed Abdul Kadir di sini, apabila seorang pekerja menjual peralatan hiasan diri memberitahu pengawal keselamatan dia melihat seorang wanita sarat mengandung menolak troli penuh pelbagai keperluan harian tanpa membayar di kaunter dan menuju ke parkir di luar bangunan. “Pengawal keselamatan bertugas bergegas ke kawasan parkir dan melihat wanita itu menolak troli sejauh kira-kira 50 meter dari bangunan dan menghala di tempat letak motosikal berhampiran sebuah hotel.
“Bagaimanapun, wanita itu sedar dia diekori sebelum menukar arah ke parkir kereta di kawasan berhampiran sebelum ditahan anggota pengawal keselamatan terbabit.

“Apabila ditanya, wanita itu pada mulanya memberitahu barang di dalam troli itu bukan miliknya bagaimanapun, apabila diberitahu pasar raya diawasi kamera litar tertutup (CCTV), barulah wanita itu akur.

“Wanita itu kemudian memberi kerjasama dan mengikut pengawal keselamatan berkenaan ke pejabat pasar raya itu untuk memberi keterangan,” katanya

Menurutnya, hasil soal siasat akhirnya wanita berkenaan mengaku mengambil 58 pelbagai barangan keperluan harian seperti ikan bilis, minyak masak, tepung gandum, kacang, garam halus, ubat gigi, bawang, telur dan kayu manis.

Selain itu, katanya, wanita berkenaan mengaku mengambil keperluan bayi seperti mandian bayi, syampu, lampin, bedak dan tuala wanita dewasa dengan jumlah keseluruhan RM855.

“Wanita itu mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana terdesak dan terpaksa menanggung beban menyara dua anaknya yang masih kecil selepas ditinggalkan suami beberapa bulan lalu.

“Dia mengakui tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pada masa sama, perlu membayar sewa rumah di Bandar Putra Segamat.

“Pengurusan pasar raya itu kemudian menghubungi polis dan kami menahan wanita berkenaan untuk mengambil keterangannya sebelum dibebaskan atas jaminan polis.

“Kes akan diteruskan selepas wanita berkenaan melahirkan bayinya dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya

No comments: